Muharam ( محرّم)
Bulan ini mengambil perkataan “Haram” yang bermaksud terlarang. Ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Rasulullahصلى الله عليه وسلم meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
.
Safar (صفر)
Safar adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam. Safar diambil dari kata “shifr” yang bermaksud ‘sifar’ atau ‘kosong’. Rumah menjadi kosong kerana penduduk Arab Badwi ketika itu keluar dari kampung meninggalkan rumah mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas.
Perkataan Safar juga bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin.
.
Rabiulawal (ربيع الأول)
Rabiulawal merupakan bulan Islam yang ke-3. Rabiulawal bermakna bulan pertama musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mula menghijau dan tumbuhan mengeluarkan bunga.
.
Rabiulakhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)
Rabiulakhir merupakan bulan Islam yang ke-4. Rabiulakhir bermakna bulan kedua musim bunga iaitu waktu ini pokok dan tumbuhan telah sampai ke kemuncak mengeluarkan bunga.
.
Jamadilawal (جمادي الأول)
Jamadilawal (Jamada al-Awwal) merupakan bulan ke-5. Bulan pertama musim panas. Perkataan “Jamada” bermaksud kering, di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.
.
Jamadilakhir (جمادي الآخر / جمادي الثاني)
Jamadilakhir (Jamada al-Akhir) merupakan bulan ke-6. Bulan kedua musim panas. Jamadilakhir merupakan musim kemarau yang akan berakhir keadaan bulan ini juga lebih sejuk daripada sebelumnya yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
.
Rejab (رجب)
Rejab adalah bulan ke-7. Rejab bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Bulan ini salah satu bulan yang dihormati dan pintu Ka’bah dibuka. Menurut sejarahnya, bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari induknya.
Rejab juga merupakan satu lagi bulan suci yang diharamkan perlawanan atau peperangan dilarang berperang.
Ia dikenali juga sebagai ‘Rajab Al-A’sham’ (Rajab yang sunyi) dan ‘Rajab al Fard’. Fard bermaksud keseorangan atau bersendirian kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab terasing di tengah-tengah.
.
Syaaban (شعبان)
Bulan Syaaban terbit dari perkataan “sya’bun” yang ertinya ‘kelompok’ atau ‘golongan’ dan“syu’ba” yang bermaksud berpecah, menyimpang dan berselerak. Masyarakat Arab terdahulu keluar bertebaran dan berpecah secara berkelompok setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab yang kering.
Pada bulan Syaaban ini juga, mereka keluar beramai-ramai berselerak dan berpecah mencari air dan bekalan makanan.
.
Ramadhan (رمضان)
Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Diambil daripada perkataan “ramda”, yang bermaksud batu panas. Ia juga bererti terik atau terbakar, Ini menceritakan keadaan panas ketika nama tersebut diberikan. Kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan amat panas di Semenanjung Arab ketika itu.
Dan setelah kemunculan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.
.
Syawal (شوال)
Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata “syalat” yang bermaksud ‘mengangkat’ dan dari kata kerja ‘Tasyawwala’ yang bermaksud sedikit atau berkurangan. Syawal dinamakan sedemikian kerana bulan ini adalah musim di mana unta betina mengangkat ekor mereka kerana tidak mahu dikawini unta jantan dan musim ini juga di mana unta kekurangan susu kerana kebanyakan unta-unta betina bunting.
Manakakala setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan kemenangan melawan hawa nafsu.
.
Zulkaedah (ذو القعدة)
Zulkaedah merupakan bulan ke-11. Perkataannya diambil daripada kata ‘Qa‘ada’ atau ‘al-qa’du’ yang bermaksud duduk. Pada bulan ini, masyarakat jahiliah mula menetap di rumah dan tidak melakukan peperangan kerana bulan ini merupakan awal dari tiga rangkaian bulan haram.
Inilah bulan suci ketiga yang diharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
.
Zulhijjah (ذو الحجة)
Zulhijjah adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir dalam setahun Hijrah. Ini adalah bulan suci terakhir dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Bulan ini disebut Zulhijah (Az Zu al-Hijjah) yang bererti “yang empunya haji”. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan “haji” sebagai rujukan nama bagi bulan haji iniiaitu waktu masyarakat Arab sibuk mengerjakan ibadah haji ke Baitullah.
Pada zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan ibadah haji ke Makkah (Kaabah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijjah iaitu pada tarikh 8, 9 dan 10 Zulhijjah.
0 comments:
Post a Comment